Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

July 1, 2009

Puisi Untuk Suami...

Bicara ini buat lelaki bernama suami
Untuk kita kongsi bersama di kamar hati...
Yang sentiasa mengharapkan keindahan abadi
Keindahan yang bermula dari
sebuah rumah tangga
Untuk kita nikmati bersama
dengan si dia... isteri kita.


Mungkin kata-kata ini akan lebih terasa
.. kalau kita luahkan secara bersahaja
Namun ada baiknya di ketika-ketika tertentu
Sentuhan makna dilembutkan
Bahasa diperindahkan
Agar tidak terguris si dia...
Isteri kita yang tercinta.....



Ciptaan: Pahrol Md Juoi
Sumber: Duhai yang Tersayang...



June 25, 2009

Rumah Tangga Bahagia...

Pelayaran Bahtera Rumah Tangga Kita:

Syurga rumah tangga itu fitrah hati
Naluri nurani yang pinta diisi
Kerananya dara rela diperisteri
Kerananya jejaka rela menjadi suami
Masing-masing dengan harapan
Agar rumah tangga membawa kebahagiaan..

Matlamat yang satu tapi jalannya berliku
Destinasi sama, kaedah berbeza..

Ada yang mengatakan
Bahagia itu pada harta...
diukir oleh intan permata

Tak kurang yang merasakan
Bahagia itu pada rupa...
ditempa oleh wajah nan rupawan

Sesetengahnya berkeyakinan
Bahagia itu pada kemasyhuran
dibaja dek gelar dan nama

Ramai juga yang merasakan
Bahagia itu pada kuasa
dituai oleh pangkat dan jawatan


Ciptaan: Pahrol Md. Juoi
Sumber: Duhai Yang Tersayang...





May 7, 2009

Persiapan Mengharung Denai...

Denai perkahwinan
Pasti dihujani air mata
Biarlah kita rasa....
Rupanya syurga rumah tangga
Itulah maharnya

Isteriku...
Tidak kutagih setia
sesetia Hawa
Tidak kuminta
kerinduan menggila...
segila Laila

Cuma terimalah aku seadanya
sebagai suami
Di sudut tersuci di dalam hati....
seorang isteri


Ciptaan: Pahrol Md. Juoi
Sumber: Duhai yang Tersayang

April 27, 2009

Selepas Akad Nikah Kita....

SATU AMANAH


Bicara ini dari hati
Untuk dikongsi di kamar hati seorang isteri
Kaulah insan terdekat
Teman kembara kehidupan yang singkat
Bahagia dan derita kita berkait rapat

Aku hanya seorang suami
Yang menerima satu amanah
Termetrai di majlis akad nikah
Beberapa musim yang lalu...

Salam kuhulur buat menyapa hatimu yang luhur
Bersamalah kita harungi
derita yang datang
Bersatulah kita tempuhi
nikmat yang bertandang...


Ciptaan: Pahrol Md. Juoi
Sumber: Duhai yang Tersayang

April 24, 2009

Kunci Termetrai...

Tapaknya... iman
Jalannya... syariat
Natijahnya... akhlak
Tiga penjamin segala,
Kunci kebahagian rumah tangga
Dan terciptalah:
Setia dan penyayang seorang suami
Cinta dan taat seorang isteri.
Lalu berbuahlah:
Mahmudah demi mahmudah
Mawaddah wa rahmah
Yang melahirkan:
Soleh dan solehah!
Ciptaan:
Pahrol Md. Juoi
Sumber:
Duhai yang Tersayang...

April 17, 2009

Di Hari Pernikahan Kita...

Dengan Nama Allah...
Binalah rumah tangga di tapak iman
Tuluskan niat, luruskan matlamat
"Suamiku, kaulah pemimpinku
menuju Ilahi"
"Isteriku, kaulah permaisuri hati...
Penyeri Islamku nanti."
Muktamadlah akad, sahlah nikah
Dengan nama Allah...
Gerbang perkahwinan pun terserlah.
Di tapak iman dirikanlah hukum Tuhan
Iman itu tujuan, syariat itu jalan
Tempat merujuk segala permasalahan
Tempat mencari semua penyelesaian
"Isteriku, taatilah hukum Allah"
"Suamiku, patuhilah Sunnah Rasullullah"
Timbanglah segala di neraca syariat
Rumah tangga kan menadah berkat
Serinya kerna solat
Indahnya oleh munajat
Bukan sekadar rumah.... tapi madrasah
Ciptaan: Pahrol Md. Juoi
Sumber: Duhai Yang Tersayang



-gambar hiasan-

April 14, 2009

Sebelum Kita Bertemu....

*ISTIKHARAHKU*
Telah tepatlah suara hati
Di situlah noktah segala sangsi
Terciptalah kata putusku yang muktamad
Tak kan kurela berundur lagi
Pada sebuah sabda yang menjernihkan
Terkuburlah segala keruh di fikiran
Terbinalah sebuah tenteram di perasaan
Kebangsawanan, hartawan dan rupawan
Hanyalah nilaian mata
yang usianya sementara
Tetapi bila pilihan lantaran agama...
Pasti kekal setia buat selamanya
Sesungguhnya pada wanita yang bertakwa itu
Terkumpullah segala keindahan dan kebenaran
Kekayaan pada lapangnyahati
Rupawan pada indahnya budi
Bangsawan pada kerendahan diri...
Yang sering sujud pada Ilahi
Ya, kaulah jawapan bisikan nuraniku
Pada "istikharah" yang kuaju
sejak dulu!
Penulis:
Pahrol Md. Juoi
Sumber:
"Duhai yang Tersayang"

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin