February 12, 2009

Asas Sebuah Perkahwinan Bahagia!

Salam…

Dah hampir 2 thn ummie simpan artikel nie… Semoga artikel ini dapat memberi panduan buat diri ummie sendiri dan juga pasangan2 yang bakal, baru atau yang sudah lama berumahtangga di luar sana… Insyaallah…

Source: Majalah Mingguan Wanita (Bil. 1216 (PP4404/6/2007) 9 - 15 Mar ‘07

Berkongsi Tanggungjawab

Suami isteri adalah orang yang saling bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan. Masing-masing perlu memahami makna sebenar perkahwinan dan sentiasa berbincang. Jangan sampai timbul rungutan yang boleh mengguris hati pasangan. Sebagai contoh di awal perkahwinan bincangkan bagaimana pasangan akan melakukan kerja rumah. Berkahwin bukan bermakna melantik isteri menjadi orang gaji tetapi sentiasa bersama dalam susah dan senang.

Pasangan Sebagai Teman Terlalu Istimewa

Bagi mengekalkan kebahagiaan rumahtangga pula, anggaplah pasangan sebagai teman yang terlalu istimewa. Pasangan kitalah sebagai tempat mencurah kasih, mengadu masalah dan bermanja. Perkahwinan juga melibatkan perubahan falsafah hidup seseorang. Sebagai contoh mereka mula belajar apa yang pasangan mereka sukai seperti hobi dan minat. Jumlah waktu yang diperuntukkan juga akan berubah. Sekiranya hobi pasangan langsung tidak disukai, ambil jalan tengah dengan bersama-sama pasangan melakukan hobi mereka. Lambat laun dengan sendirinya kita akan dapat menerima pembahagian itu. Melalui cara itu juga kemesraan dan kebahagiaan akan dapat dipupuk.

Perancangan Masa Depan

Perancangan untuk jangka masa panjang sama ada dari segi kewangan, pelajaran dan tempat percutian. Persoalan seperti masalah tempat tinggal dan perancangan anda perlu diteliti sebaik mungkin. Perlu juga diingat ia melibatkan dua set keluarga kerana perkahwinan akan menyatukan dua buah keluarga yang saling tidak mengenali. Misalnya isteri perlu memahami tanggungjawab suami terhadap kedua ibubapanya. Jangan pada awal-awal lagi isteri sudah mengawal suami. Sebaliknya isteri perlu banyak bersabar dan berbincang. Ini kerana keduanya dibesarkan dengan nilai-nilai yang begitu berbeza jadi untuk mencapai kesesuaian sudah pastilah ia memerlukan sedikit masa.

Komunikasi Yang Baik

Berkomunikasi antara pasangan sangatlah penting. Sentiasa mewujudkan komunikasi dengan membina pasangan kerana ia merupakan salah satu keperluan untuk pasangan suami isteri merasai apa yang sebenarnya dikehendaki oleh pasangan mereka. Semasa proses komunikasi pasangan juga perlu mengelakkan perkara-perkara seperti menyangkal kata-kata, membuat keputusan sendiri, tidak memberi perhatian, menyampuk dan sebagainya. Buka ruang kepada pasangan untuk memberi penjelasan dan jadilah pendengar yang baik kepada pasangan kita.

Mengenal “Bahasa Cinta” Pasangan

Sememangnya terdapat lima bentuk bahasa cinta yang utama iaitu kata-kata yang memberi keyakinan, masa berkualiti, memberi hadiah, berbakti dan memberi sentuhan fizikal. Pasangan perlu memahami dan menghayati bahasa cinta masing-masing dan sentiasa mengamalkannya agar mereka dapat meluahkan perasaan kasih sayang antara satu sama lain.

Mengukuhkan dan Menjaga Kewangan

Tidak dinafikan bahawa wang dan harta adalah satu keperluan dalam kehidupan rumahtangga. Lebih-lebih lagi apabila menghadapi zaman yang serba mencabar ini. Setiap keperluan hidup perlukan wang. Oleh itu sebagai ketua rumahtangga, suami perlulah bijak dan berbincang dengan isteri cara menguruskan hal kewangan untuk faedah bersama. Sebaiknya pasangan perlu merancang setiap bulan perbelanjaan mereka agar tidak berlaku pembaziran dan menimbulkan sikap tidak puas hati mana-mana pihak.

Penyelesaian Konflik

Luahkan segala masalah dan ketidakpuasan terhadap apa yang berlaku tanpa pengetahuan pasangan. Berusaha menangani konflik dengan hati dan minda yang terbuka tanpa merungut, mengugut dan mengancam sehingga usaha ke arah penyelesaian konflik terjejas. Misalnya, perselisihan faham dapat dihuraikan dengan cara yang tenang sekiranya kita cuba mengingati kembali kenangan manis semasa bercinta, berbulan madu dan rintangan yang ditempuhi bersama. Bagi pasangan yang sudah mempunyai anak, para suami diingatkan untuk mengenang jasa dan susah payah isteri yang mengandung dan melahirkan anak. Apa juga masalah yang melanda, bawalah berbincang dan elakkan dari pertengkaran untuk menegakkan pendapat masing-masing.

Hubungan Suami Isteri

Jika pasangan anda tidak memenuhi kehendak dan kepuasan seperti yang anda inginkan, jangan sesekali mempertikaikan kemampuannya sebagai seorang lelaki sejati atau wanita sejati. Caranya luahkan apa sebenarnya yang anda suka dan gemari. Berikan sokongan kepada pasangan dan jangan malu untuk berterus terang. Bawalah berbincang dan cari jalan penyelesaian.

Tabah dan Sabar

Ia adalah kunci yang terbesar bagi setiap pasangan untuk membentuk sebuah keluarga yang ideal. Suami dan isteri perlu bersabar atas kekurangan dan kelemahan pasangan mereka. Setiap pasangan suami dan isteri juga memerlukan kesabaran yang tinggi dan berusaha mencari jalan penyelesaian dengan bijaksana apabila menghadapi masalah dalam perkahwinan mereka.

Solat Berjemaah

Menurut Islam, faktor paling penting sebagai asas perkahwinan yang ideal adalah dengan membiasakan diri bersembahyang jemaah dengan ahli keluarga dan membawa Al-Quran bersama-sama. Hal ini perlu diaplikasikan secara berterusan. Waktu yang amat sesuai diadakan sembahyang jemaah ialah waktu Maghrib, Isyak dan Subuh. Kebiasaannya waktu inilah ibubapa dan anak-anak berada di rumah.

Wallahualam...

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin